Nilai, 15 Mei 2023 – Majlis Perasmian Program Kebolehpasaran Graduan Penjana KPT-Career Advancement Programme (KPT-CAP) telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, YBhg. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff bertempat di Mizan Park, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program yang berjalan selama 2 minggu melibatkan 200 orang peserta melibatkan pelajar dari Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti serta orang awam. Ia terdiri daripada seramai 38 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), graduan 2018 dan 2022.

Peserta yang terlibat menjalani program online menerusi modul RPG Group dan CIDB IBS 3 Malaysia selama empat (4) hari kemudian di USIM menjalani program secara amali melibatkan gerak kerja memasang dan membina sebuah rumah contoh asnaf hijau.

“USIM amat berterima kasih kepada RPG Group kerana berterusan menjalin hubungan baik dengan FKAB dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Kesudian pihak RPG Education & Training Centre menyumbangkan hasil binaan yang bernilai RM60,000.00 ini akan dimajukan sebaiknya bagi membantu meningkatkan fasiliti di kampus USIM,” ucap YBhg. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff.

Menurut En. Azuhan Fauzi, Ketua Pegawai Eksekutif RPG Group konsep hijau yang diketengahkan merujuk kepada dinding rumah menggunakan panel IBS di mana teknologi ini hampir 80% dapat menjimatkan pasir, simen dan mengurangkan lebihan barangan binaan di tapak bina. Impaknya, alam sekitar dapat dilindungi dari pembaziran di tapak bina.

“Selain itu sebahagian dari sistem eletrik rumah akan di jana daripada tenaga solar sebagai back up untuk tenaga sambungan grid Tenaga Nasional Berhad (TNB). Seterusnya dapat menjadikan ia sumber tenaga lestari dan mengurangkan beban asnaf. Seterusnya, rumah ini akan di lengkapi dengan sistem penuaian air hujan / SPAH atau Rain Water Harvesting sebagai persediaan sumber air alternatif dan di kumpul secara alami dari bumbung rumah itu sendiri. Terima kasih kepada Yayasan Infaq Infra Malaysia atas sumbangan teknologi hijau,” ucapnya lagi.

Aisyah Nabilah binti Roslee, pelajar tahun 3 FKAB berasa semangat apabila mendapat peluang berada di tapak pembinaan bagi merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian pasukan pembinaan kali ini.

“Ini merupakan satu pengalaman berbaloi buat saya. Apabila dimaklumkan oleh pensyarah berkaitan program ini, saya merasakan ia sesuatu yang menarik kerana berkait dengan pembelajaran secara teori di kelas,” ujarnya.

Majlis Perasmian turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Shahrin Amri Jahari Pengarah JPPF, En. Mohd Asri Husain, Mantan Pusat Alumni dan Kerjaya merangkap Ketua Projek, Ir. Dr Juliza Jamaludin Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKAB mewakili Dekan serta jemputan Pn. Norhayati Jamil, Ketua Unit Corporate Industrial Training & Employment Centre, Politeknik Sultan Azlan Shah.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM