NILAI, 6 November 2023 – Majlis perasmian dan penyerahan rumah asnaf contoh diadakan bertempat di Kafeteria Kolej Kediaman 1, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penganjuran majlis dengan kerjasama di antara Pusat Alumni dan Kerjaya dengan Pusat Perumahan Pelajar diadakan bertujuan merasmikan pembinaan Rumah Asnaf Contoh bertempat di Mizan Park yang berjaya disiapkan oleh pihak industri Syarikat RPG Education & Training Center, dalam tempoh yang ditetapkan.

Rumah Asnaf Contoh dibina melalui geran KPT-Career Advancement Programme (KPT-CAP) berjumlah RM 60,000.00 oleh penyedia latihan iaitu Syarikat RPG Education & Training Center. Melaluinya, pihak penyedia latihan telah menerima seramai 200 peserta melibatkan pelajar Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti serta orang awam termasuk pelajar USIM. Program latihan telah berjalan selama dua (2) minggu menerusi modul RPG Group dan CIDB IBS 3 Malaysia manakala latihan secara amali di Mizan Park bermula pada 15 Mei lalu.

Rumah Asnaf Contoh terdiri daripada 1 ruang tamu, 3 buah bilik, 2 bilik air dan 1 ruang dapur dengan dilengkapi kelengkapan di dalam rumah antaranya katil, kerusi tamu dan meja makan untuk keselesaan pengguna.

Kerjasama yang dimeterai di antara Pusat Alumni dan Kerjaya dengan Syarikat RPG Education & Training Center menyaksikan tanda jalinan yang berterusan yang mampu meningkatkan keterlihatan USIM. Melalui Rumah Asnaf Contoh ini, masyarakat dan pihak luar yang berkepentingan turut dapat mengenali antara showcase yang terdapat di USIM yang bakal dijayakan oleh Pusat Perumahan Pelajar USIM.

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Penyerahan Sijil Pentaulihan Pusat Bertauliah SLDN oleh Pengarah Keselamatan USIM kepada Pengarah PRUPEL dan Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti.

Majlis Perasmian dan penyerahan dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM turut dihadiri oleh YBrs. Profesor Dr. Adnan Mohamad Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBrs. Encik Muhammad Izzat Ismail, Wakil Ketua Pegawai Eksekutif RPG Group & Training Centre, YBrs. Haji Mazlan Nawang, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya dan YBrs. En Mohd Salehudin Sukor, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Pengurusan Tertinggi Universiti dan Ketua Jabatan.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

 Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM