17 Mei 2025 – Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka: Tautan Ukhwah Alumni @ USIM sempena sambutan Pasca Raya bertempat di Galeri Hal Ehwal Pelajar (HEP), USIM.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran seramai 60 orang alumni USIM bersama ahli keluarga, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keakraban dalam kalangan komuniti alumni. Suasana majlis menjadi lebih bermakna apabila para alumni berpeluang bersua kembali serta beramah mesra dengan pensyarah-pensyarah yang pernah membimbing mereka sepanjang tempoh pengajian.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang majlis berlangsung, antaranya jamuan Aidilfitri, sesi cabutan bertuah, pertandingan pakaian sedondon serta sesi fotografi sebagai kenangan. Kesemua aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya mengukuhkan jalinan ukhwah dan hubungan silaturahim antara alumni, keluarga serta warga USIM.
Pihak Pusat Kerjaya dan Alumni USIM berharap agar penganjuran majlis seumpama ini akan terus mendapat sokongan dan sambutan berterusan daripada para alumni. Komitmen serta kehadiran alumni amatlah penting dalam memastikan kelangsungan program yang bertujuan menyatukan komuniti alumni dan institusi, sekali gus memperkukuh hubungan jangka panjang antara USIM dan graduannya.

