Nilai, 8 Oktober 2025 – Lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada pelajar, komuniti dan IPT luar membanjiri USIM Career & Internship Fair 2025 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penganjuran julung kali ini oleh Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) dengan kerjasama Talentbank telah membuka ruang luas kepada pelajar dan alumni untuk meneroka peluang kerjaya serta penempatan latihan industri melalui jaringan bersama pihak industri dan agensi yang menyertai program ini.
“Sambutan dari pihak agensi dan syarikat telah menyertai pameran kerjaya ini membuktikan keyakinan pihak industri terhadap usaha universiti dalam memperkenalkan potensi pelajar USIM, serta kesediaan mereka menyediakan peluang penempatan kerjaya dan latihan industri.
Semoga sinergi dan jaringan strategik ini akan terus diperkasa, demi melahirkan graduan USIM yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini,” ucap YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapan perasmian.
Dalam pada itu, YBrs. Profesor Dr. Mahazan Abdul Mutalib@Taib, Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni berkata penganjuran ini merupakan salah satu inisiatif strategik universiti untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan USIM, di samping memperkukuh jalinan kerjasama dengan rakan industri.
“Kerjasama secara kolektif amat penting bagi memastikan agenda kebolehpasaran graduan dilihat secara serius dan sistematik. Saya percaya, isu pengangguran dalam kalangan graduan universiti awam dapat diatasi melalui pendekatan kerjasama yang holistik bersama rakan industri,” ujarnya lagi.
Ketua Pengarah Eksekutif Talentbank, Encik Ben Ho berbesar hati mendapat peluang bekerjasama kali ini dan mengharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sebanyak 23 reruai majikan dan industri yang juga daripada kalangan Alumni USIM turut mengambil bahagian, menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan latihan industri kepada pelajar. Reruai jualan juga terdiri daripada Usahawan Alumni USIM menampilkan pelbagai produk dan makanan, minuman menarik perhatian ramai pengunjung sepanjang hari.
Program yang bermula seawal jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya Career Talk oleh MYFutureJobs, 1:1 Career Coaching Session bersama kaunselor dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendaftar serta pelajar Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).
Selain itu, lebih 20 cabutan bertuah turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah termasuk hadiah utama berupa Mi Watch, Airpod jenama Xiomi dan speaker jenama Sony.