NILAI, 9 Ogos 2023 – Bersempena Sambutan Hari Alumni USIM 2023 pada 9 Ogos, Pusat Alumni dan Kerjaya membawakan Jejak Alumni@USIM sejajar dengan Chapter USIM yang telah ditubuhkan khusus buat para alumni yang berkhidmat di dalam USIM.

Himpunan alumni yang hadir bertempat di Lobi Canselori, Bangunan Canselori mencecah seramai 50 orang mewakili jumlah besar alumni USIM yang berkhidmat di USIM dan sekitar 200 orang turut dihadiri oleh alumni di sekitar Nilai.

Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata Alumni USIM merupakan tiang teguh kepada universiti. Keistimewaan Alumni USIM berbanding alumni universiti lain kerana membawa keunikan nilai INAQ secara langsung menjadi duta dan ejen kemajuan ummah. Beliau turut menyatakan agar menjiwai frasa ‘menginsankan manusia dan membumikan adab dan akhlak’.

“Saya mengharapkan Alumni USIM bersama-sama dengan pengurusan universiti dalam usaha meneroka peluang-peluang baharu. Pengurusan sentiasa bersedia dan membuka ruang kepada alumni untuk menyalurkan idea baharu yang boleh menaikkan imej dan pencapaian universiti demi kemajuan pada masa akan datang dan pengurusan,” ucapnya lagi.

Beliau turut menekankan agar nilai INAQ terus tersemat di dalam jiwa dan diri Alumni USIM berlandaskan dua aspek iaitu adab dan akhlak serta kepunyaan dan rasa sayang yang tinggi kepada USIM yang mampu mempertahankan nama baik USIM bertepatan dengan frasa ‘USIM Berjanji Pada Ibunda’.

Pada majlis yang sama, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin menyampaikan sijil pelantikan secara rasmi kepada Wakil Chapter Alumni USIM iaitu En. Marwan Tahir yang dipertanggungjawab sebagai ketua bagi memimpin Chapter Alumni USIM. Beliau mengharapkan agar Chapter USIM mampu menjadi nukleus penting dan pencetus kebersamaan dalam kalangan Alumni USIM mewakili ribuan alumni yang lain.

Turut hadir di majlis sambutan adalah YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); YBrs. Hj. Mazlan Nawang, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya dan YBrs. Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, Pengerusi Persatuan Alumni USIM.

Info:

  • Bersempena dengan Hari Alumni USIM akan diadakan Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Alumni USIM pada bulan Oktober dan mengalu-alukan para alumni berkongsi momen semasa di USIM dengan #alumnisayangusim #usimians9ogos
  • Jejak Alumni ini telah pun dilaksanakan secara bersiri bertujuan mendekati alumni dan mengenali Alumni USIM yang berada pelbagai landasan pencapaian dan mencipta kejayaan baik dalam bidang perniagaan mahupun berkhidmat di pelbagai sektor kerajaan.
  • Tarikh 9 Ogos dipilih sebagai Hari Alumni USIM bedasarkan daripada tarikh Majlis Konvokesyen Pertama yang berlangsung pada tahun 2003 yang dahulunya USIM dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

 

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM