ARAB SAUDI, 14 Ogos 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani hadir merasmikan The 10th International Islamic Economic System Conference (I-iECONS 2023) anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pada majlis yang sama turut melancarkan Chapter Alumni Timur Tengah bertempat di Millennium Makkah Al Naseem Hotel, Saudi Arabia.

“Tahniah dan sekalung penghargaan diucapkan atas pencapaian Pusat Alumni dan Kerjaya atas pelancaran ini yang dilihat membuka peluang kerjasama dengan alumni luar negara,” ujarnya.

Beliau menyampaikan sijil pelantikan kepada wakil Alumni Timur Tengah iaitu Dr. Idris Mukhtar yang kini berkhidmat di Islamic Corporation for the Development of Private Sector, Islamic Development Bank Group (IsDB). Dr. Idris Mukhtar yang berasal dari Nigeria merupakan alumni Doktor Falsafah Ekonomi pada tahun 2020.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai majlis jalinan hubungan seperti ini terutama kepada Pengurusan Universiti dan FEM. Saya boleh katakan, FEM merupakan antara fakulti terbaik kerana penawaran program-program sangat memberi nilai yang bagus serta peranan penyelia yang sangat menyokong dan membantu kelancaran pembelajaran semasa pengajian. Alhamdulillah, kini berjaya bergelar graduan USIM walaupun menghadapi pelbagai liku dan cabaran,” ucapnya.

Turut hadir YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar, Hj. Mazlan Nawang, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya serta Pegawai Pengurusan Alumni, Puan Nurliyana Mohamed Razali.

Pelancaran ini menjadi pencapaian kedua memberi impak kepada Pusat Alumni dan Kerjaya dalam memperluas rangkaian hubungan bersama alumni di luar negara selepas Pelancaran Alumni Chapter Indonesia. Ia merupakan antara pelan perancangan Pusat Alumni dan Kerjaya bagi menyokong usaha menggalakkan penglibatan alumni luar negara dalam aktiviti promosi USIM kepada masyarakat luar menerusi pelantikan alumni sebagai duta kecil USIM.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

 Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM