NILAI, 10 Jun 2023 – Ustaz Anas Azami, Alumni USIM, Pengasas Azdan Quranic Center telah menganjurkan program sulung iaitu Mega Apresiasi Azdan bertempat di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). Beliau yang hadir bersama isterinya iaitu Ustazah Aisyah Bain, tenaga pengajar Kaedah Azdan juga merupakan Alumni USIM gembira meraikan pelajar yang berjaya menamatkan program Mastery Quran.

Majlis berlangsung meriah telah dihadiri seramai lebih 100 orang tetamu termasuk ahli keluarga di serata Malaysia termasuk Brunei dan Singapura. Rata-rata peserta dari latar belakang berbeza yang naik ke pentas dan menerima kalungan istimewa begitu teruja dan gembira kerana berjaya menamatkan program dengan jayanya.

Pelbagai kisah suka dan duka dikongsikan oleh peserta sewaktu pembelajaran dengan menempuh kekangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi antaranya usaha membahagikan masa pengurusan keluarga dan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan namun berjaya melunaskan tanggungjawab.

“Semoga ilmu yang dipelajari dapat dialirkan dan diajarkan kepada orang lain agar ilmu yang dipelajari di Mastery Quran dapat dimanfaatkan bersama dengan orang lain untuk kejayaan duniawi dan ukhrawi,” ucap Ustaz Anas Azami dalam ucapannya.

Pusat Alumni dan Kerjaya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasangan suami isteri ini, graduan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) kerana memilih USIM sebagai lokasi utama penganjuran sebagai tanda sokongan dan mengembalikan semangat kecintaan kepada alma meter.

Azdan Sdn Bhd dibangunkan pada 17 September 2020 bertujuan membantu Masyarakat Islam yang menghadapi kesukaran membaca Al-Quran untuk kembali belajar Al-Quran bermula daripada peringkat asas sehingga mahir dengan menggunakan kaedah belajar Al-Quran inovasi paling terkini, mudah dan cepat.

Azdan Sdn Bhd kini telah mengorak langkah dan meluaskan empayarnya dengan membuka cawangan baru bertempat di Putra Nilai.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

 Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM