NILAI, 4 Oktober 2023 – Majlis Anugerah Ikon Alumni USIM telah berlangsung bertempat di Galeri Hal Ehwal Pelajar bersempena Hari Alumni USIM pada 9 Ogos 2023 bagi memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan alumni dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Penyampaian anugerah disampaikan oleh YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi tahniah kepada semua penerima anugerah.

“Penganugerahan seperti ini diharapkan dapat menjadi antara pendorong kejayaan kepada para alumni untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang yang diceburi. Alumni merupakan aset yang bernilai buat university yang mampu membantu memperkenalkan imej baik universiti kepada masyarakat luar,” ucapnya.

Sebanyak empat (4) anugerah diberikan pada tahun ini iaitu Ikon Alumni Akademik, Ikon Alumni Pentadbiran, Ikon Alumni Keusahawanan dan Ikon Alumni Kesukarelawanan yang menerima sebuah Trofi, Sijil Anugerah, dan hadiah sumbangan alumni (Fakulti Ekonomi dan Muamalat, tahun 2012) kini merupakan Pengarah Hasnuri Sdn Bhd, iaitu Puan Nuriah Zakaria.

Ikon Alumni Akademik diberikan kepada alumni yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan. Penerimanya adalah Dr. Mohd Hafiz Jaafar, graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (2012) yang kini merupakan Pensyarah Kanan di USIM.
Ikon Alumni Pentadbiran diberi kepada alumni menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang pentadbiran di organisasi awam/swasta dan boleh dijadikan model kepada alumni dan pelajar USIM. Penerimanya adalah Muhammad Faiz Bin Hussin Shokri, graduan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (2015), kini berkhidmat di Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Ikon Alumni Keusahawanan diberikan kepada alumni yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang keusahawanan sama ada mempunyai syarikat sendiri atau bekerja dalam syarikat perniagaan lain dan boleh dijadikan model kepada Alumni dan pelajar USIM. Penerimanya adalah Muhammad Zulfaqar Rosli, graduan Fakulti Syariah Dan Undang-Undang (2012), kini merupakan Pengasas Ab Food Asia Sdn Bhd.

Ikon alumni kesukarelawanan dianugerahkan kepada alumni yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang tanggungjawab sosial kepada kesejahteraan masyarakat sama ada dalam atau di luar negara dan boleh dijadikan model kepada alumni dan pelajar USIM. Penerimanya adalah Hassan Unus, graduan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (2019), kini merupakan Pengasas Pertubuhan Semporna.

Turut berlangsung di majlis yang sama adalah penyampaian sijil kebolehpasaran graduan USIM kepada fakulti atas kecemerlangan dan pencapaian. Ini merujuk kepada pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) USIM yang telah mencipta rekod pada tahun 2022 dengan pencapaian tertinggi sebanyak 96.4%
Anugerah Platinum – dengan kadar Pencapaian GE 100% diberikan kepada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Pergigian (FPG) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Manakala Anugerah Emas dengan kadar Pencapaian GE 90% diberikan kepada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Fakulti Quran dan Sunnah (FPQS) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).

Pada majlis yang sama, YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff turut Buletin Pusat Alumni dan Kerjaya yang dinamakan Buletin ImPAK yang menghimpunkan maklumat dan perkembangan aktiviti di Pusat Alumni dan Kerjaya sepanjang bulan Mei dan Ogos. Ia disebarkan secara e-digital menerusi laman web Alumni dan Kerjaya. Buletin ImPAK akan dikemaskini tiga (3) kali setahun.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM