Nilai, 4 November 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Alumni dan Kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Karnival Kerjaya USIM X MYFutureJobs 2023 bertempat di Dewan Tuanku Canselor selama dua (2) hari bermula 4 November hingga 5 November 2023.

Kerjasama dengan PERKESO khususnya MYFutureJobs ini merupakan kali ke-3 setelah penganjuran bersama pada tahun 2021 secara dalam talian dan manakala tahun 2022 secara fizikal. Ia menjadi salah satu strategi untuk membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan USIM dan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini serta membuka pelbagai peluang kepada pelajar USIM untuk diberi tempat ke alam pekerjaan.

Setiap tahun kolaborasi ini berterusan melalui aktiviti terutamanya aktiviti tahunan seperti Karnival Kerjaya, Seminar Kebolehpasaran, Industry Talk dan Graduate Employment Programme (GEP) yang dilaksanakan setiap tahun bersama kerjasama USIM.

Sebanyak 30 pihak industri terlibat dengan sasaran pengunjung seramai 2000 diharap dapat memberi peluang kepada graduan, pelajar tahun akhir termasuk terbuka kepada orang awam di sekitar Nilai dan berdekatan bagi mendapatkan informasi berkenaan peluang kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai pihak industri/ majikan.

Selain itu, pengunjung juga menimba pengalaman menjalani temuduga secara langsung dengan pihak industri. Melalui proses temuduga ini, pengunjung berpotensi untuk ditawarkan pekerjaan oleh pihak industri yang menemuduga. Pengunjung juga boleh berinteraksi dengan lebih dekat kepada industri/ majikan pada karnival yang berlangsung.

Majlis perasmian oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Ts Dr. Sharifudin bin Md Shaarani turut dihadiri oleh YBrs. Puan Rosimah Bt Arsah, Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Sembilan; YBrs. Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); serta Pengurusan Tertinggi Universiti dan tetamu jemputan.

Penganjuran kali ini turut menampilkan pempamer daripada Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Syarikat Usahawan Alumni USIM yang mengetengahkan showcase dan produk. Selain pempamer PERKESO, PTJ yang terlibat  adalah USIM Healthcare, Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI), Pusat Penerbitan, Unit Pemasaran Akademik Pusat Komunikasi Strategik dan Syarikat Usahawan Alumni USIM iaitu perniagaan dan perkhidmatan seperti Herbalife, Takaful Malaysia dan Syarikat AB Food Asia Sdn. Bhd.

Antara senarai pihak industri:

Pos Aviation Sdn Bhd, Samsung Sdi Energy Malaysia Sdn Bhd, Medivest,Ctrm Sdn Bhd, Mytutor Academy Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd, Public Mutual Berhad, Azly Synergy Consultancy, Kawan International Travel Sdn Bhd, Safran Landing Systems, Cs Eco Glass (M) Sdn Bhd.

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM