KELANTAN : Seramai 200 orang peserta termasuk penganjur menghadiri Konvensyen Usahawan Alumni Universiti Awam Kali Ke-2 yang diadakan di Kampus UMK Bachok, Kelantan pada 26 Mac 2022 (Sabtu) hingga 27 Mac (Ahad) bagi membantu usawahan alumni mengetengahkan inovasi produk dan perkhidmatan kepada alma meter dan pihak industri.  

Program ini bertujuan untuk merapatkan kerjasama di antara usahawan alumni, alma meter dan industri serta dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa universiti awam untuk menceburi bidang keusahawanan. Keusahawanan adalah penting ketika ini kerana menjadi pemangkin kepada perubahan perkembangan ekonomi. Peranan keusahawanan dapat meningkatkan kadar per kapita pengeluaran dan pendapatan seterusnya disertai oleh penumbuhan dan peningkatan pengeluaran.

Majlis Alumni Universiti Awam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga bekerjasama menjayakan Konvensyen Usahawan Alumni Universiti Awam Kali Ke-2 sebagai penganjur utama.

Pn. Nurul Hafizah Sarimon, Pengasas Experiment Kitchen, memberi kata semangat dan dorongan dalam ucapannya bagaimana beliau mempromosikan media sosial yang kini memperoleh 132 ribu pengikut di Instagram, 152.8 ribu di Tiktok dan 31.7 ribu pengunjung menyukai laman sosial di Facebook. Pada tahun 2018, Experiment Kitchen yang diusahakan beliau telah menerima kunjungan daripada TV3 di bawah rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.

  “Saya fokus pada promosi di media sosial sebab saya tahu sekarang semua di jari. Sekarang ramai ada media sosial, jadi setiap hari saya akan post dengan memberikan kelainan dan idea yang berbeza. Kita jangan berhenti , kita kena konsisten kerana pasti di hujung nanti ada hasil”.

Usahawan bukan hanya berniaga untuk fokus kepada keuntungan semata-mata, malah mereka adalah pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Pencapaian ekonomi sesebuah negara bergantung kepada usahawan mereka yang sentiasa dinamik dan maju ke hadapan.

Penganjuran Konvensyen Usahawan Alumni ke-2 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dapat membantu menyediakan platform untuk Usahawan Alumni berkongsi pengalaman mereka sebagai usahawan. Usaha memperkasakan Usahawan Alumni ini memerlukan perancangan yang sistematik dan komprehensif serta melibatkan kerjasama banyak pihak. Strategi jangka panjang diperlukan bagi membolehkan usaha meningkatkan keupayaan Usahawan Alumni dapat dibuat secara optimum.

Disediakan oleh:
Nasuha Mizam
Pusat Alumni dan Kerjaya
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)