Nilai, 3 November 2024 – Penganjuran Careerplus Fun Run 2024 merupakan satu usaha bagi memeriahkan suasana dan menyemarakkan semangat sukan warga USIM, alumni dan komuniti sekitar selain dapat menyertai program Karnival Kerjaya yang turut berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Cabutan bertuah turut diadakan bagi meraikan para peserta yang menamatkan larian dengan jayanya dengan pelbagai hadiah menarik antaranya adalah mesin cetak, kipas, bantal, pembesar suara mini, kipas tangan, barangan rumah dan lain lain.

Timbalan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata melalui program ini juga warga USIM, alumni dan komuniti berpeluang mengekalkan gaya hidup sihat dengan larian sejauh 3 km selain dapat mengeratkan ukhwah.

Seramai 200 peserta menyertai program ‘Careerplus Fun Run’ dengan kesemua peserta dilepaskan oleh Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Penglibatan seramai 45 urus setia dalam kalangan pelajar USIM amat memberangsangkan kerana menjadi nadi utama program berjalan lancar selain sentuhan dan panduan daripada Pn. Syazlyna Jamil serta kakitangan Pusat Kerjaya dan Alumni yang amat komited dalam menjayakan program tersebut.

Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2024 yang turut berlangsung dirasmikan oleh YB Tuan Veerapan a/l Superamaniam, EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan diiringi Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dan Tuan Haji Wan Kefli Bin Hamid, Pengarah PERKESO.

Pada kali ini, sebanyak 34 industri yang menawarkan lebih daripada 2000 kekosongan jawatan dari pelbagai bidang dan pengunjung berpeluang untuk berinteraksi bersama majikan serta mendapatkan nasihat kerjaya secara percuma.