KOTA KINABALU : Pada 28 Jun 2022, seramai 70 orang Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghadiri Majlis Makan Malam Alumni Chapter Sabah bertempat di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis yang diadakan buat julung kalinya mendapat sambutan hangat dan merupakan satu titik tolak kepada Pusat Alumni dan Kerjaya USIM untuk meneruskan usaha murni ini  supaya dapat bersua kembali bersama alumni walau di mana jua berada. Majlis Makan Malam Alumni Chapter Sabah turut dihadiri Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) USIM.

Selain acara makan malam, majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan dari Kelab Buskers Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan dendangan lagu-lagu anak seni Negeri Sabah.

Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya, En. Mohd Asri Hj. Husain berkata, majlis sedemikian merupakan langkah awal bagi merapatkan Alumni USIM di Sabah pada masa akan datang.

“Kita berharap dapat menjayakan program seperti ini dalam bentuk lain seperti Program Tanggungjawab Sosial, Seminar Sosial, Seminar Mengikut Bidang Kerjaya Alumni dan Program Pembangunan Intelektual.

“Para alumni amatlah dialu-alukan untuk turut serta dalam setiap program yang dianjurkan oleh Pusat Alumni dan Kerjaya mahupun pihak universiti sendiri dalam menunjukkan kebersamaan alumni untuk membantu mencapai visi dan misi universiti. “Connecting Alumni, Supporting USIM” menjadi moto yang tidak asing dalam usaha memperkukuh dan memperkasa jaringan alumni agar setia bersama alma mater,” katanya.

Mengulas lanjut, En. Hassan Unus, Pengurus Syarikat UZTGroup berkata, sebagai seorang alumni, seharusnya para alumni menghadiri majlis seumpana ini bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan membina networking antara alumni dan alma mater dalam mengangkat agenda negara bangsa.

“Negeri Sabah sangat kaya dengan hasil buminya tapi, sangat kurang penyelidik dalam negara terutama universiti tempatan untuk mengambil peluang meneroka kekayaan sumber alam di Sabah. USIM perlu melihat peluang ini sebagai salah satu projek yang memberi impak besar dalam dunia penyelidikan sekaligus dapat membantu pembangunan penduduk tempatan yang kurang mampu. Penduduk tempatan yang tinggal di pendalaman juga akan mendapat hasil bantuan dari penyelidik dalam menggunakan sumber alam yang mereka teroka,” katanya.

Disediakan oleh:
Nasuha Mizam
Pusat Alumni & Kerjaya
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)