MELAKA, 16 Januari 2024 – Seramai 23 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari pelbagai fakulti menyertai program TVET Place & Train UTeM@KPT yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Melalui program ini pelajar mendapat pendedahan, berkenalan dan bersoal jawab secara terus dengan pelbagai industri selain turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti disediakan.

Program ini merupakan satu inisiatif untuk memberi peluang kepada pelajar, khususnya pelajar tahun akhir yang akan menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan dan meneruskan kerjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Di samping itu, program ini juga dapat memberi manfaat kepada para pelajar yang akan menjalani latihan industri atau dalam usaha mendapatkan penempatan latihan industri di luar.

Program ini adalah berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam negara, khususnya dalam bidang TVET bagi memenuhi keperluan industri di Malaysia dan mensasarkan sekitar 30,000 tenaga mahir dalam bidang TVET menjelang tahun 2030.

Turut hadir adalah Naib Canselor USIM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya mewakili USIM.

 

PUSAT ALUMNI DAN KERJAYA (PAK)
Connecting Alumni, Supporting USIM

Laman Web Rasmi : http://alumni.usim.edu.my/
Laman Sosial (FB IG Youtube) : Pusat Alumni dan Kerjaya USIM