Campuslife2020-11-23T14:50:48+08:00

Campus Life

Campus life is a slot for sharing Alumni experiences while studying at USIM. Experience as a student who is busy with lectures and assignments does not prevent these alumni from being active in co-curricular areas such as sports, culture, debate, innovation, and so on.

MUHAMMAD ALIF BIN ISMAIL, anak kelahiran Perak ini mula mendapat pendidikan persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Sin, Tanjung Malim sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Ugama Rakyat Al-Abbasiah (Ma’ahad Al-Abbasiah), Sungkai. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang Diploma Pengajian Islam dengan Teknologi Maklumat, Sekolah Pengajian Islam (SPI) di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Ijazah Sarjana Perpustakaan dan Sains Maklumat, Kulliyyah Information, Communication and Technology (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Di kampus barakah USIM pada tahun 2006-2010, beliau telah diberi peluang mewakili universiti untuk menghadiri Kelas Intensif Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Universiti Damascus, Syria dan Kelas Intensif Bahasa Inggeris di British Council, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau merupakan mantan Presiden/Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM sesi 2008/2009 dan Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sesi 2008/2009 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau kini bekerja di Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, sebuah syarikat peruncitan sukan terbesar di Malaysia sebagai Eksekutif Hal Ehwal Korporat sejak 2017. Sebelum menyertai Al-Ikhsan Sports, beliau merupakan calon Skim Felo Siswazah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM.

En. Muhammad Alif Ismail

CHE MOHD JUWAHIR BIN CHE ABDULLAH merupakan kumpulan pertama Alumni KUIM.Saya berasal dari Manir, Kuala Terengganu, Terengganu. Beliau merupakan graduan dari Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam (matrik P000065). Penglibatan beliau sepanjang pengajian di KUIM ialah sebagai Exco Akademik, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2000/2001. Selain itu, beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti sebagai Pengarah Program Seminar Kecemerlangan Akademik Tahun 2001 dan lain-lain aktiviti lagi dan pada masa yang sama tudak mengabaikan akademik apabila turut menerima Anugerah Dekan dengan PNGK 3.71. Setelah tamat pengajian, beliau telah ditawarkan sebagai Pegawai Tadbir di Bahagian Perpustakaan KUIM. Namun begitu perkhidmatan beliau tidak lama di KUIM kerana mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan (KPLI) pada bulan Disember 2003 di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching Sarawak. Bermula tahun 2005 saya memulakan perkhidmatan sebagai Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Felda Sening, Kota Tinggi Johor sebelum berkhismat di beberapa lagi buah sekolah seperti SK Mawai, Kota Tinggi, SJK © Mawai Kota Tinggi, SK Datuk Ismail Saadon Kota Tinggi, SK Pulau Redang ,Kuala Terengganu, SK Bukit Losong Kuala Terengganu dan  kini saya berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kebor Besar,Manir Kuala Terengganu. Beliau berpesan kepada pelajar-pelajar agar dapat menggunakan peluang melanjutkan pengajian di USIM untuk mendapatkan pelbagai kemahiran insahniah melalui aktiviti ko-kurikulum. Beliau juga turut mendoakan agar USIM terus maju jaya dalam bidang pendidikan di persada antarabangsa demi memartabatkan syiar Islam serta menjadi universiti ternama di dunia.

En. Che Mohd Juwahir Che Abdullah

PUAN SITI NOORHASMANAWIZA MOHD WI, graduan daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM. Beliau merupakan pelajar sulung Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang kini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan No Matrik P0001. Puan Siti Noorhasmanawiza Mohd Wi, mendapat Pendidikan awal di Sekolah Agama Arab Amir Indera Petra, Beris, Kubor Besar, Kelantan dan kini bertugas sebagai seorang guru. Setelah menamatkan pengajian di KUIM @USIM, beliau mengikuti Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan saya ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara selama 12 tahun sebelum bertukar ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 2, Pengkalan Chepa, Kelantan. KUIM@USIM banyak membantu mengajar beliau mengenai nilai pendidikan seperti mementingka aspek menjaga adab ketika menuntut ilmu dalam membentuk manusia. Pesanan beliau kepada pelajar USIM supaya dapat memberikan keseimbangan di antara keperluan duniawi dan ukhrawi kerana pelajar USIM menjadi model kepada pelajar aliran agama. Justeru, tanggungjawab pelajar USIM bagi bersama-sama menjaga nama baik Universiti agar USIM lebih dikenali dan dihormati di pelusuk dunia kelak.

Puan Siti Noorhasmanawiza Mohd Wi

DR MOHD IZZAT AMSYAR BIN MOHD ARIF adalah graduan daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), USIM dalam bidang Undang-undang dan Syariah dan Sarjana dan PhD Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini beliau bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Semasa menuntut di USIM, beliau sangat aktif dalam aktiviti pengucapan awam seperti debat terutamanya dalam debat Bahasa Arab. Kepetahan beliau ini telah membolehkannnya memenagi banyak anugerah seperti Anugerah Kecemerlangan Pasukan (Debat Bahasa Arab) 2011; Anugerah Kecemerlangan Individu (Debat Bahasa Arab) 2010; Anugerah Pendebat Terbaik Kejohanan Debat Piala Diraja (Bahasa Arab) 2010; Johan Kejohanan Debat Piala Diraja (Bahasa Arab) 2010; Johan Kejohanan Debat Piala Piraja (Bahasa Arab) 2009; dan Hujahan Terbaik Pertandingan Mahkamah Mut Syariah peringkat Kebangsaan 2009. Beliau pernah berkhidmat sebagai Peguam Syarie (Wilayah Persekutuan). Selain itu, beliau telah berjaya menerbitkan 11 buah buku akademik dan turut menjadi Penasihat kepada dua buah institusi pendidikan swasta di samping menjadi Perunding Penyelidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Dr Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif

DR. NISAR MOHAMMAD AHMAD melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda di Kolej Universiti Islam Malaysia (kini dikenali Universiti Sains Islam Malaysia) dan lulus Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Kehakiman dengan Kepujian Kelas Pertama pada 2005. Susulan kejayaan cemerlang beliau dalam pencapaian akademik dan dalam bidang kepimpinan selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPPKUIM) untuk penggal 2002/2003 dan 2003/2004, Dr. Nisar telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Jaya Cemerlang sumbangan Majlis Raja-raja Malaysia semasa Majlis Konvokesyen ke-3 KUIM pada 2005. Sebelum itu pada Julai 2005 beliau menyertai KUIM sebagai Tutor di Fakulti Syariah dan Undang (FSU). Beberapa bulan berkhidmat sebagai Tutor, Dr. Nisar melalui tempoh cuti belajar untuk pengajian di peringkat pascasiswazah di United Kingdom bermula September 2005 hingga September 2010. Beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) pada 2007 dan Ijazah Sarjana Falsafah (MPhil) Undang-undang pada 2011, masing-masing dari Universiti Exeter dan Universiti Leicester. Sekembalinya ke tanahair, beliau meneruskan lagi pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di mana beliau berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-undang pada September 2015. Dr. Nisar kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di FSU, USIM, sejak mula dilantik ke jawatan itu pada November 2015. Selain jawatan hakikinya sebagai pensyarah, Dr. Nisar pernah diberikan tugas pentadbiran iaitu sebagai Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM dari tahun 2016 hingga 2018. Sebagai ahli akademik, beliau telah menulis lebih daripada 30 artikel jurnal berwasit dan 5 bab buku. Dr. Nisar turut menulis artikel untuk akhbar di samping menulis tiga buah buku bertajuk “Masjid dan Pembangunan Komuniti Bandar dan Luar Bandar”, “PHD: Catatan Perjalanan Sebuah Universiti Kehidupan” dan “Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia”. Selain itu, Dr. Nisar turut aktif membentang kertas kerja di dalam seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya di United Kingdom, Republic of Ireland, Thailand, Indonesia dan Malaysia termasuk sebagai jemputan oleh beberapa agensi seperti International Red Cross Committee (ICRC), Institut Latihan Kehakiman Malaysia (ILKAP) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Dalam bidang penyelidikan, setakat ini Dr. Nisar telah terlibat dalam 14 geran penyelidikan yang mana 8 daripadanya telah selesai. Antaranya beliau telah menerima geran penyelidikan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) di bawah skim Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) (2016-2019) dan dari the Raoul Wallenberg Institute of Human Rights and Humanitarian Law (RWI) untuk projek penyelidikan secara usahasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Sebagai pengiktirafan kepada pencapaiannya dalam bidang akademik, Dr. Nisar telah menerima beberapa anugerah, antaranya Anugerah Penerbitan Kategori Karya Asli Terbaik (Buku) Kluster Sains Sosial – BM (2017) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2019).

Dr. Nisar Mohammad Ahmad

MOHD. TAQWUDIN BIN MOHD. YAZID merupakan alumni daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU). Beliau mempunyai minat yang mendalam dalam bidang bahasa Arab khususnya dalam aspek pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua.  Setelah menyelesaikan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi pada tahun 2015, beliau seterusnya meyelesaikan Sarjana Bahasa Arab Komunikasi di bawah skim Fello Siswazah FPBU pada tahun 2017. Akhirnya pada tahun 2018 beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah bahasa Arab di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sepanjang berkhidmat sebagai tenaga pengajar dan ahli akademik di UMS, beliau pernah diamanahkan dengan tugas Penyelaras Gugusan Bahasa Asing dan Tempatan di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS. Pada tahun 2020, beliau mula melanjutkan pengajian doktor falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang bahasa Arab. Penglibatan dalam ko-kurikulum ini banyak membantu dalam perkembangan kerjaya beliau pada masa kini terutamanya berkaitan dengan latihan, kepimpinan, komunikasi dan juga pengurusan. Semasa di Kampus USIM beliau aktif terlibat dalam aktiviti ko kurikulum seperti penglibatan dalam badan kepimpinan pelajar sebagai Biro Pembangunan Akademik dan Intelektual Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi Akademik 2013/2014. Sepanjang menjawat jawatan sebagai wakil pelajar, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah dalam pelbagai program akademik dan menjadi Setiausaha semasa Program Lawatan Intelek MPP USIM ke Tokyo, Jepun. Tambahan itu, beliau pernah mewakili USIM dan Malaysia ke beberapa program kepimpinan peringkat antarabangsa seperti The fifth University Scholars Leadership Symposium, Humanitarian UK, di Phnom Penh, Kemboja dan The second ASEAN Future Leader Summit di Malaysia-Thailand.  Kepetahan beliau dalam berbahasa arab membolehkan beliau mewakili Usim-Malaysia dalam Maal Hijrah Arabic Debate Championship 2014 dan ASEAN Arabic Debate Championship 2015. Tambahan itu pula, berbekalkan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, beliau telah mengikuti Latihan Industri Antarabangsa di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Negara Brunei Darussalam. Disamping itu, karya penulisan beliau telah beberapakali diterbitkan oleh akhbar Berita Harian, Sinar Harian dan Utusan. Berbekalkan kecemerlangan yang diraih beliau dalam pencapaian akademik dan prestasi ko-kurikulum akhirnya beliau telah menjadi penerima Anugerah Pelajaran DIraja-Pingat Jaya Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen USIM Kali ke-13 pada tahun 2015.

En. Mohd. Taqwudin Mohd. Yazid

AHMAD SHAHER MOHD FUAD, Alumni Program Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), USIM pada tahun 2015 dan beliau telah mengikuti pengajian Diploma Amalan Kehakiman Syariah dan Advokasi (DIJAP) di USIM juga. Setelah tamat pengajian, mengambil Chambering (Pelatih dalam kamar) di Tetuan Nizam, Harlina & Co. Setelah menyelesaikan Chambering ini dalam bulan April 2016. Ahmad Shaher Mohd Fuad meminati kerjaya sebagai Peguam semenjak dari kecil lagi kerana kerjaya ini akan dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan pengadilan bagi sesuatu perkara. Pada masa yang sama, saya dapat membantu bagi memartabatkan perundangan Islam melalui penglibatan sebagai Peguam Syarie. Semasa di kampus, beliau telah menyertai Kelab Debat yang banyak mengasah bakat saya berhujah dan berpidato dalam kategori Pendebat Bahasa Inggeris, USIM. Selain itu juga, beliau turut menyertai saban tahun Pertandingan Mahkamah Moot bagi membiasakan diri dengan simulasi di mahkamah. Ini Pengalaman terlibat dengan program seperti ini membolehkan beliau menyediakan persiapan hujah-hujah dengan lebih kemas dan sistematik. Pengalaman ini banyak membantu beliau dalam meningkatkan keyakinan diri untuk berhujah dalam mahkamah dan pada masa yang sama membantu saya dalam pengurusan pejabat. Pesanan beliau kepada mahasiswa yang ingin menceburi kerjaya sebagai seorang Peguam Syarie, pertamanya mereka mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion ini. Ini kerana Peguam Syarie akan berhadapan dengan masalah ummah berkaitan dengan institusi kekeluargaan. Maka dengan sebab itulah, sebagai Peguam Syarie, aspek ganjaran kewangan material bukan menjadi focus utama sebaliknya bagaimana usaha untuk mengharmonikan dan mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah/kes itu. Mahasiswa perlu menggunakan peluang semasa di Universiti agar terlibat secara aktif dalam pelbagai aspek pengurusan organisasi, pembangunan kendiri, kewangan dan sebagainya kerana semua ilmu ini amat berguna dalam dunia kerjaya yang sebenarnya. Namun begitu, penglibatan yang aktif dalam ko-kurikulum mestilah seimbang dengan akademik kerana tahap kelulusan akademik juga penting bagi memastikan seseorang graduan itu layak memohon sesuatu jawatan.

En. Ahmad Shaher Mohd Fuad

RIZA ASMA, merupakan mantan Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2013/2014, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau merupakan graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam bidang Kimia Penglibatan awal beliau dalam bidang inovasi dan penyelidikan sepanjang tempoh pengajian di USIM bermulanya dengan penglibatan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Pertandingan Inovasi di USIM dan kejayaan beberapa orang senior di FST mermberi inspirasi untuk beliau mencuba bagi menghasilkan produk sendiri. Usaha pihak FST yang menggalakkan aktiviti inovasi dan penyelidikan banyak membantu mewujudkan suasana kondusif untuk mahasiswa di FST bergiat aktif dalam bidang ini. Beliau juga bertuah kerana mempunyai Mentor iaitu Prof Dr Norita Md Norwawi yang banyak memberikan sokongan dan khidmat nasihat untuk membolehkan saya lebih serius dalam bidang ini. Beliau telah mencapai beberapa kejayaan seperti Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Islam (i-REKA’2014) sebagai Juara bagi kategori Fundamental Science; Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan Kebangsaan (NRIC) 2014 sebagai pemenang pingat emas kategori Fundamental Science dan bagi pertandingan Community and Research Innovation (CoRIC), di USM dan telah dianugerahkan Best Best Presenter Award 2013 yang mana anugerah untuk adalah pertama kali diwujudkan;; British Invention Show 2014, London, United Kingdom mendapat Double Gold Special Award, Medal Gold, Excellency Award of Romanian 2014; Pertandingan Keusahawanan Inovasi Menteri Pendidikan, di UNiversiti Malaya (UM) 2014 mendapat Tempat Ketiga; danm juga Pertandingan Inovasi dan Penyelidikan (i-INOVA’ 2014) dan menerima Pingat Perak. Pesanan beliau kepada pelajar USIM ialah pelajar mestilah mempunyai sifat yang positif dalam semua perkara kerana sifat positif ini banyak membantu untuk kita maju ke hadapan. Jangan melihat terlalu banyak sifat yang negatif seperti takut mencuba, malu, berani mengambil risiko, dan bersedia menerima kritikan agar kita menjadi lebih kuat pada masa hadapan. Penglibatan dalam pelbagai program ko-kurikulum namun bidang akademik masih menjadi keutamaaan seorang mahasiswa dan mereka perlu bijak membahagikan masa. Mencintai bidang Inovasi ini membolehkan kita meneroka kejayaan-kejayaan orang lain untuk dijadikan pendorong buat kita juga.

Puan Riza Asma

NUR JIHAN BINTI RAMLI merupakan Pegawai Psikologi di Institut Latihan Perindustrian Jitra, Jabatan Tenaga Manusia. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, pengkhususan dalam bidang Kaunseling pada tahun 2018. Sebelum bergraduasi, beliau menghadiri temuduga di Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan berjaya mendapat tempat sebagai Pegawai Psikologi (Kerjaya) sambilan bermula Oktober 2018 sehingga Disember 2019. Sepanjang berkhidmat di Pusat Alumni dan Kerjaya, beliau membantu pusat dengan menganjurkan program-program persediaan kerjaya kepada pelajar dan program kebolehpasaran graduan bagi pelajar yang bakal bergraduasi. Dalam pada itu juga, beliau turut terlibat sebagai Setiausaha bagi program MyCareer@MOE yang buat julung kalinya diadakan di USIM. Selain itu, beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi Pegawai Peneraju Pelaksanaan (Person Responsible) bagi Pelan Strategik USIM 2019-2025 di bawah strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan (Graduate Employability). Atas usaha dan dedikasi yang dicurahkan, beliau berjaya membantu USIM meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan kepada 93.0% pada tahun 2019.  Pada awal tahun 2020, beliau telah dilantik untuk berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Gunasama Persekutuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Kini, tugas beliau lebih tertumpu kepada pembangunan diri, sahsiah dan kesejahteraan pelajar yang berada dalam bidang kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Jitra. Sepanjang hampir setahun berkhidmat, beliau pernah dijemput untuk memberi perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan persediaan kerjaya, motivasi diri dan kesihatan mental. Selain itu, beliau juga diberi tanggungjawab untuk menjadi penasihat bagi Majlis Perwakilan Pelajar dan berhasrat untuk membawa lebih banyak nilai positif kepada pelajar dan masyarakat demi masa depan yang lebih cemerlang.

Cik Nur Jihan Ramli