Kata Aluan TNC HEP & ALUMNI

Bismillahrrahmanirrahim,

Assamualaikum wbt.

Pertamanya saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah  anugerah dan petunjuk-Nya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dapat berdiri gagah mencapai matlamat penubuhannya. Merenungi tempoh sedekad yang lepas, USIM atau nama awal semasa penubuhannya iaitu Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan. Alhamdulillah, dengan kesungguhan semua pihak termasuk mahasiswa dan Alumni, USIM telah berjaya melepasi halangan hingga mencapai ke tahap sekarang. Saya percaya misi USIM untuk menjadi universiti yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam akan terus dipertahankan. Saya berkeyakinan para alumni yang telah dilahirkan mampu memberi sumbangan terbaik kepada pencapaian misi tersebut.

 

Menyedari betapa pentingnya sumbangan Alumni kepada alma mater, pihak universiti meletakkan sepenuh harapan agar para alumni dapat kembali memberi sumbangan kepada universiti daripada pelbagai segi melalui program-program yang dianjurkan. Sumbangan ini amat signifikan ke arah memantapkan pembangunan generasi baru bakal graduan dan USIM sendiri. Saya berkeyakinan perhubungan dua hala ini akan memberi faedah kepada dua belah pihak, bukan sahaja dari segi manfaat fizikal bahkan dari segi spiritual.

 

Justeru, diharapkan penubuhan Pejabat Perhubungan Alumni USIM pada tahun ini dapat menjadi saluran terbaik menghubungkan USIM, para Alumni dan Persatuan Alumni USIM, ke arah perhubungan yang lebih kukuh. Lanjutan ini juga, saya berharap agar para alumni dapat memberi maklumat terkini mereka kepada pihak Pejabat Perhubungan Alumni supaya penyelarasan dan pengesanan dapat dibuat mengikut kumpulan masing-masing bagi mencapai tujuan ini.

 

Di samping itu, saya juga amat menyokong aktiviti Persatuan Alumni USIM sebagai persatuan utama Alumni. Saya berharap para alumni juga dapat memberi sokongan dengan menjadi ahli persatuan dan melibatkan diri secara aktif dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihak persatuan.

 

Akhir kata, saya berdoa agar semua alumni USIM mendapatkan kejayaan di dalam karier masing-masing, di bawah rahmat dan lindungan-Nya.

 

“ALUMNI PENGGERAK KECEMERLANGAN TRADISI ISLAM”

                                                                                                                      Pusat Alumni dan Kerjaya                                                                                                                  Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA

Tel: +606-7986161/6160/6151 Faks: +606-7986154/6155
Emel: alumni[at]usim.edu.my