KATA ALUAN PENGARAH

 

Bismillahrrahmanirrahim,

Assamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

 

Pertamanya  saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya saya diberi kesempatan dan penghormatan untuk menyampaikan salam mesra dan ucapan selamat datang kepada semua pengunjung ke laman sesawang kami, Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia USIM.

Sejak beroperasi pada 2000, USIM atau sebelum ini dikenali Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) telah melahirkan lebih 14000 alumni dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian. Mereka kini bertebaran di seluruh pelosok negara menabur bakti di pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta. Tidak ketinggalan alumni USIM dari luar negara juga turut menyumbang bakti di negara masing-masing setelah tamat pengajian. 

Sesungguhnya kejayaan alumni USIM pada hari ini adalah berkat kesungguhan mereka menimba ilmu dan kegigihan para pensyarah serta warga USIM yang lainya dalam mendidik mereka dengan panduan ilmu Naqli dan Aqli sehingga menjadikan mereka cemerlang seperti hari ini. Alumni USIM adalah aset yang amat berharga, bukan sahaja kepada USIM tetapi juga agama, bangsa dan negara.

Justeru, mewakili Pusat Alumni dan Kerjaya USIM saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua alumni walau apa jua bidang yang diceburi. Saya juga berharap agar warga alumni dapat menyumbang bakti kepada USIM dan menjadikan alma mater ini sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran selepas bergraduat agar sesuatu yang bermanfaat itu dapat dikongsi bersama para pelajar dan komuniti kampus. USIM sentiasa membuka pintu kepada alumni untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan pelajar dalam usaha kita bersama-sama mencemerlangkan akademik dan sahsiah pelajar berpandukan ilmu naqli dan aqli.

Sebagai penghubung antara alumni dan alma mater, kami akan cuba menggunakan platform yang ada, yang salah satunya melalui laman web rasmi ini, untuk mewar-warkan segala berita mengenai perkembangan semasa dan kejayaan USIM kepada warga alumni agar semua warga alumni sentiasa dekat dengan USIM. Untuk membantu kelancaran proses komunikasi dan penglibatan alumni dalam program-program yang bakal dijalankan, saya menyeru dan berharap para alumni sekalian untuk membantu mengemaskini data/rekod anda di PORTAL ALUMNI USIM  http://ealumni.usim.edu.my/ 

Pusat Alumni dan Kerjaya  telah merencanakan pelbagai program antaranya pogram perkongsian ilmu dan pengalaman kerjaya melibatkan alumni. Kami juga akan menghebahkan program-program yang dianjurkan dari semasa ke semasa untuk makluman semua alumni. Mudah-mudahan program seperti ini dapat menyediakan platform kepada warga alumni untuk menyumbang kembali atau ‘give back’ kepada alma mater mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing

Akhir kata, saya berdoa agar semua alumni USIM diperludahkan urusan dan mendapat kejayaan di dalam karier masing-masing serta sentiasa di bawah rahmat dan lindunganNya.

Wassalam.

 

Dr. Nisar Mohammad Ahmad

[Alumni USIM 2005]

Pengarah
Pusat Alumni dan Kerjaya USIM
2017-2018

 

Pejabat Perhubungan Alumni USIM
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: 06-7986161/6160/6151 Faks: 06-7986154/6155 Emel: alumni[at]usim.edu.my