PUTRAJAYA, 21 September 2020 – Tahun 2020 menjadi cabaran kepada kebolehpasaran graduan Universiti tempatan ekoran daripada penularan pandemik Covid19 bukan hanya di Malaysia malah melangkaui ke peringkat global.

Pusat Alumni dan Kerjaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Konvensyen Usahawan Alumni Bersama Industri 2020 sebagai platform membantu usahawan dan juga menyalurkan input-input dalam pelbagai bidang dan isu pasca pandemik Covid19 supaya para usahawan ini bangkit semula meneruskan perjuangan dalam perniagaan khususnya.

Konvensyen yang julung kali diadakan ini merupakan langkah awal pihak universiti bagi membantu mengembangkan lagi potensi usahawan alumni bukan sahaja alumni USIM, malah alumni semua Universiti Awam di negara ini.

Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapan perasmiannya berkata, pandemik Covid19 telah mengubah lanskap dalam kehidupan manusia sedunia termasuklah ia turut memberi kesan kepada bakal graduan kini. Maka dengan sebab itulah, graduan Universiti perlu bersedia memperlengkapkan diri dengan pelbagai set kemahiran insaniah dan berani meneroka kerjaya baru. Cabaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan masa kini, menuntut graduan bersedia secara fleksibel bagi menghadapi sebarang cabaran yang berlaku.

“Usaha membantu Usahawan Alumni merupakan tanggungjawab semua pihak dan perlu dilaksanakan secara komprehensif. Bantuan dana dan geran daripada pihak Kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), SME Corp, TEKUN dan juga rakan industri akan dapat membantu merangsang peningkatan Usahawan Alumni ini. Saya amat berharap pihak KPT dapat menyediakan dana dan geran khas bagi Usahawan Alumni ini kerana golongan ini merupakan bakal teknorat Malaysia pada masa hadapan”, jelas Dr. Rushdan.

Manakala Dr Siti Mardhiyah Kamal Azali Timbalan Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM selaku Pengarah program berkata, inisiatif Pusat Alumni menganjurkan konvensyen ini adalah bagi berkongsi saluran dan menjalin hubungan baik alumni bersama pihak industri, ekoran pandemik Covid19 ramai usahawan yang terjejas dan kecundang di tengah jalan. Justeru, slot yang disediakan bersama pihak industri diharap sedikit sebanyak membantu para usahawan alumni.

“Sebanyak tujuh slot telah diaturkan dan dikongsikan oleh pihak industri antaranya dari Kementerian Pengajian Tinggi, SME Corp Negeri Sembilan, GET Talent Corporation Malaysia Berhad, PROTÉGÉ, LHDN, PERKESO dan L&K Multivision Sdn Bhd. Selain itu, para usahawan alumni USIM turut menyumbang cenderamata dari syarikat masing-masing antaranya Med Shoes, Awla Global Resources, Sportflex Media & Events Sdn Bhd dan Callidesign & Cendera”, tambah Dr Mardhiyah.

Salah seorang peserta dari alumni USIM, Mohamad Shukri Zakaria berasal dari Kelantan yang merupakan alumni program Sains Aktuari, Fakulti Sains dan

Teknologi berkata, cabaran graduan untuk mendapatkan kerja amat tinggi berikutan lambakan graduan di Malaysia. Ekoran itu, beliau telah memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang pertanian yang merangkumi penanaman padi, sayuran dan proses pemasaran.

“Pengalaman enam tahun dalam bidang perniagaan ini banyak mengajar selok belok perniagaan dari awal proses, dan pengalaman menyertai konvensyen ini amat berharga kerana ia merupakan kali pertama saya berpeluang untuk sertai dan ini sedikit banyak dapat mendedahkan usahawan seperti kami dengan peluang geran-geran alumni yang tersedia.

Sebanyak 50 pameran barang jualan dari usahawan alumni seluruh Malaysia serta 200 peserta konvensyen dari wakil universiti awam antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Konvensyen ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Majlis Alumni Universiti Awam.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) USIM Ustaz Mohd Hariri Hj Daud, dan Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM Encik Mohd Asri Husain.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan