NILAI, 3 Ogos 2021 – Sehingga Majlis Konvokesyen ke 18 pada bulan April 2021 yang lepas, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melahirkan seramai 25,269 alumni dari peringkat Sarjana Muda dan juga Siswazah. USIM melihat peranan alumni amat strategik bagi membantu Universiti pada masa hadapan. Ini kerana alumni merupakan sumber masa depan jangka panjang kerana mereka adalah duta Universiti yang akan membawa panji-panji USIM dalam komuniti sama ada di peringkat tempatan atau pun antarabangsa. Menyedari akan hakikat ini, Pusat Alumni dan Kerjaya USIM mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Alumni USIM buat julung kalinya pada tahun 2021. Tarikh 9 Ogos dipilih sebagai Hari Alumni USIM bedasarkan daripada tarikh Majlis Konvokesyen Pertama yang berlangsung pada tahun 2003 yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Penganjuran Sambutan Hari Alumni USIM 2021 merupakan manifestasi usaha memperkasakan institusi Alumni agar relevan dengan perkembangan semasa. Ini merupakan cabaran USIM sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang bertanggungjawab bagi memartabatkan pelajar aliran agama agar berjaya dalam pelbagai kerjaya profesional kelak. USIM amat berbangga dengan pencapaain Alumni dalam pelbagai bidang pada masa ini seperti bidang keusahawanan, akademik, pentadbiran dan sebagainya.

Dalam tempoh 21 tahun USIM ditubuhkan, alumni USIM telah merekodkan pelbagai kejayaan. Antaranya penglibatan alumni sebagai usahawan yang kini mempunyai jenama yang terkenal seperti MedShoe, Hasnuri, Azdan Quran Centre, UI Platinum, Mawar Teraju, Raja Ikan Patin dan sebagainya. Pada masa yang sama juga, alumni USIM telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik dan menjadi pensyarah di Universiti tempatan dan luar negara. Selain itu, terdapat juga alumni USIM yang berkecimpung sebagai pentadbir dan menjadi ikon dalam komuniti seperti En Mohd Hariri Mohamad Daud yang terkenal sebagai Moderator Forum Ehwal Islam dan Puan al Arabi Mohamad yang mempunyai tiga buah syarikat dan selalu menyampaikan ceramah berkaitan dengan usahawan wanita.

Dalam usaha memperkasakan institusi alumni, pihak pengurusan Universiti telah melancarkan MISI USIM 2022 yang merupakan misi jangka masa sederhana sebagai salah satu strategi untuk mentransformasikan USIM menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi berteraskan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (iNaQ) menjelang tahun 2022. Misi USIM 2022 merupakan panduan dalam merealisasikan misi utama USIM bagi Menghasilkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat. Oleh sebab itulah, tema Graduan dan Alumni telah dijadikan sebagai Teras Strategik 1 dalam MISI USIM 2022. Ini menunjukkan kepentingan peranan pelajar dan Alumni dalam membantu Universiti.

Encik Asri Husain Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya berkata, dalam melangkah ke usia USIM yang ke 21 tahun, USIM tidak pernah melupakan sumbangan Alumni kepada Universiti. Maka dengan sebab itulah, USIM melalui Pusat Alumni dan Kerjaya telah menyediakan Pelan Perancangan Strategik Komprehensif Pengurusan Alumni USIM bagi membantu memastikan agenda memperkasakan Alumni dapat dibuat secara lebih sistematik dan berobjektif. Aspek ini penting kerana bilangan Alumni akan bertambah dari tahun ke tahun dan strategi yang padu diperlukan agar populasi Alumni ini akan terus mendampingi USIM sepanjang hayat mereka.

Menurutnya, Pelan Strategik Komprehensif Pengurusan Alumni USIM ini diharap dapat membantu menyediakan dokumen hala tuju bagi menjaga kebajikan alumni secara lebih menyeluruh. Pusat Alumni dan Kerjaya sedang menyusun dan memperkemaskan peranan Persatuan Alumni, Kelab SAHABAT Alumni, Koperasi Keusahawanan Iqra Alumni dan juga Chapter Alumni agar dapat berfungsi secara optimum. Pada masa yang sama Insentif Kad Alumni USIM juga sedang ditambahbaik untuk memberikan lebih banyak faedah kepada alumni terutamanya untuk mereka yang ingin melanjutkan pengajian. Selain itu juga, tawaran bagi penggunaan fasiliti di USIM juga sedang dipertimbangkan untuk kegunaan Alumni daripada segi kaedah pelaksanaannya.

“Sambutan Hari Alumni USIM Kali Pertama 2021 pada kali ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Alumni, Pertandingan Nostalgia Alumni, Meet & Greet Persatuan Alumni USIM, Inspirational Talk, Program Graduan Profesional dan sebagainya. Program pada tahun ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Alumni USIM, Kelab Sahabat Alumni, Koperasi Keusahawanan Iqra’ Berhad (KKIB) dan juga Penerbit USIM”, ujarnya lagi.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan